Saturday 17 March 2012

Syarat Untuk Melakukan Maksiat

Gambar hanya hiasan


  Suatu hari, ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku selalu bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." 


  Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima 5 syarat dan mampu melaksanakannya, maka kamu boleh melakukan maksiat." 


  Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

  Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

  "Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di Bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"kata Ibrahim
"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. 


  Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

  Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

  "Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

  "Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

  Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil teresak-esak.





Sekiranya kita mampu memenuhi syarat-syarat tersebut, di persilakan untuk melakukan maksiat, tetapi, 


Mampukah kita cipta REZEKI kita sendiri jikalau 
segala REZEKI itu datang daripada ALLAH !!!


Mampukah kita mencipta BUMI kita sendiri jikalau 
manusia itu lemah dan hanya ALLAH sahaja yang mempunyai kemampuan untuk MENCIPTA planet !!!


Mampukah kita mencari tempat yang tersembunyi dari penglihatan ALLAH yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui Segala Sesuatu !!!


Mampukah kita melambatkan kematian kita saat malaikat maut mencabut roh kita !!!


Mampukah kita menolak kehendak ALLAH yang memerintahkan Malaikat Zabaniyah untuk mengiringi kita ke NERAKA di HARI KIAMAT nanti !!!


RENUNG-RENUNGKANLAH...


Wallahu'alam...

Thursday 15 March 2012

Kisah Nabi Musa, Abid, dan Si Pencuri


Sekadar renungan

Di Zaman Nabi Musa AS ada seorang hamba Allah yang kerjanya hanya mencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri.

Pada suatu hari, dia terlihat Nabi Musa AS sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi Musa. Katanya, "Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku".

Tetapi setelah difikirkannya semula, dia tidak jadi melaksanakan niatnya itu. Dia berkata, "Aku ni pencuri. Manalah layak pencuri seperti aku ini berjalan bersama dengan seorang nabi". Sejurus kemudian, dia terlihat pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa AS dari belakang. Lelaki itu adalah si Abid yang telah beribadat secara istiqamah selama 40 tahun dan dikenali oleh semua orang. Si pencuri berkata di dalam hatinya, "Baik aku berjalan bersama si Abid ini, mudah-mudahan ada baiknya juga untuk aku".

Lantas si pencuri menghampiri si Abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya. Apabila ternampak sahaja si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya, "Celaka aku kalau si pencuri berjalan bersamaku, takut nanti rosak segala amalan dan kebaikanku selama ini".

Si abid terus berjalan laju supaya si pencuri tadi tidak dapat mengikutnya. Namun si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana mahu tetap bersamanya. Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa AS. Nabi Musa AS terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, "Aku baru sahaja dapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan kamu telah dimansuhkan oleh Allah." Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi.

Berbahagialah si pencuri kerana segala dosa mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah Taala. Tetapi malang dan berita duka bagi si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40 tahun ditolak dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Rupa-rupanya si pencuri itu walau pun kerjanya mencuri, tetapi dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia mencuri kerana ditimpa kemiskinan dan memikul tanggungan yang banyak. Namun masyarakat ketika itu sungguh angkuh dan sombong. Manakala si kaya pula enggan membantu orang fakir dan miskin.

Oleh itu dia mencuri kerana terpaksa. Setiap kali dia mencuri, dia amat rasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itulah juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun itu jugalah hatinya merintih sedih, meminta belas kasihan, memohon keampunan Allah dan mengharapkan kasih sayangNya.

Sebaliknya si abid pula, dia teramat yakin bahawa ibadahnya mampu menyelamatkannya. Dia malahan yakin ibadahnya akan dapat membeli syurga. Setiap kali dia beribadah, dia merasa dirinya bertambah baik, dan setiap kali dia beribadah dia merasakan dirinya bertambah mulia.

Selama 40 tahun si abid ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia hinggakan dia merasakan dirinya tidak layak bergaul dengan orang yang tidak sepertinya, yang dirasakan hina dan banyak dosa. Dia merasakan dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.

Maha Suci Allah SWT yang mengetahui segala isi hati manusia, yang tidak melihat amalan zahir semata-mata tetapi apa yang terkandung di dalam hati manusia. Sesungguhnya Allah menilai hambaNya berdasarkan amalan yang benar-benar ikhlas, bukan amalan yang dilakukan sekadar untuk menunjuk-nunjuk dan untuk mendapat perhatian dan pujian manusia. Kepunyaan Allah lah tiap segala sesuatu. Syurga dan Neraka itu, Allah jua yang Maha Menentukan.

Wallahu'alam... 

Monday 12 March 2012

Adolf Hitler Berketurunan Yahudi ?


Adolf Hitler

Siapa yang tidak mengenali Adolf Hitler. Biografi, filem-filem dokumentari, buku-buku, bahkan filem-filem Hollywood pun banyak yang diinspirasi oleh kisahnya. Diktator Nazi ini dikenali sebagai tokoh perkauman yang menganggap bangsa Aryan (bangsa Jerman) sebagai bangsa yang paling unggul.



Di samping kebanggaannya terhadap bangsa Aryan (dimana Hittler mengaku sebagai bangsa Aryan), Hitler sangat memandang renadah terhadap bangsa lain, khususnya Yahudi. Hitler menunjukkan kebenciannya pada kaum Yahudi secara terang-terangan tanpa berselindung dari mata dunia.

Tindakan diskriminasi sehinggakan pembunuhan untuk menghapuskan kaum Yahudi menular ke seluruh Jerman. Kem-kem khas ditubuhkan untuk memisahkan kaum Yahudi dengan bangsa lain. Begitu mendalam sekali kebencian Hitler terhadap kaum Yahudi.

Tetapi tahukah kita bahawa di dalam darah Hitler adanya 'darah' Yahudi yang mengalir di dalam badannya? Berdasarkan ujian DNA yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan fakta yang mengejutkan, Hitler terbukti berketurunan Yahudi dan Afrika.

Marc Vermeeren

Jean-Paul Mulders

Wartawan, Jean-Paul Mulders dan sejarawan, Marc Vermeeren yang menggunakan DNA untuk menjejak 39 waris Hitler awal tahun ini. Termasuk, seorang petani Austria yang diketahui satu-satunya sepupu Hitler, Norbert H. Sampel DNA juga diambil dari seorang warga Amerika Alexander Stuart-Houston, 61, cucu kepada saudara Hitler.

Alexander Stuart-Houston bersama dengan Adolf Hitler

Alexander Stuart-Houston ketika remaja

Sebuah akhbar Belgium melaporkan, sampel dari air liur yang diambil dari sampel saudara maranya tersebut untuk menjejaki asal-usul darah Hitler. Kromosom yang disebut Haplogroup E1b1b (Y-DNA)terdapat dalam sejumlah sampel itu, dan sangat jarang ditemui di Jerman, bahkan di Eropah Barat.

Taburan penduduk yang mempunyai darah 
Haplogroup E1b1b (Y-DNA)

"Ini biasanya ditemui di Maghribi, Algeria, Libya, Tunisia juga diantara Yahudi Ashkenazi dan Sephardic," kata Vermeeren, seperti dimuat di laman Daily Mail, 23 Ogos 2010.

"Ini salah satu bukti bahawa Hitler sememangnya sebahagian daripada bangsa yang dia benci," tambah Mulders dalam Majalah Knack.

Haplogroup E1b1b1, yang menyumbang sekitar 18-20 peratus daripada bangsa Ashkenazi - dan 8.6 peratus sampai 30 peratus daripada Sephardic-kromosom Y, nampaknya menjadi salah satu nadi garis keturunan utama dari penduduk Yahudi.

Prof Ronny Decorte

"Ini adalah hasil yang mengejutkan," kata Ronny Decorte, pakar genetik yang setuju bahawa Hitler mungkin mempunyai asal usul dari Afrika Utara.

Majalah Knack mengatakan, DNA diuji dalam keadaan makmal yang rapi dan kawalan ketat untuk mendapatkan hasil yang maksimum.

Ini bukan kali pertama sejarawan yakin bahawa Hitler berketurunan Yahudi. Ayahnya, Alois, adalah anak kepada seorang perempuan yang tidak berkahwin Maria Schickelgruber .Alois adalah hasil hubungan emaknya dengan seorang lelaki Yahudi yang ketika itu berusia 19 tahun bernama Frankenberger.

Sebuah laporan menyebutkan, anak saudara Hitler, Patrick pernah menghantar surat kepada ayah saudaranya itu - amaran tentang isu sensitif soal darah campuran Alois Hitler.

Mengikut cerita yang tidak sahih, Hitler mengarahkan orang kananya, Hans Frank untuk menyiasat perkara tersebut. Oleh sebab tertekan selepas mengetahui asal usulnya dari bangsa yang dibencinya, Hitler telah membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri.

Gambar kematian yang digembar gemburkan

Ada sumber yang mengatakan Hitler meninggal di Argentina. Perancangan siapakah ini?
Apakah agenda di sebalik cerita Hitler ini ?

Wallahu'alam...

Friday 9 March 2012

Al-Quran Membongkar Cara Mengesan Penipuan


Kesan ujikaji ke atas otak

Sangat luar biasa. Itu sahaja yang dapat saya katakan selepas mengetahui perkara ini. Siapa sangka pada waktu 1400 tahun yang lalu tanpa teknologi canggih, Al-Quran telah membongkar cara bagaimana mengesan penipuan melalui ayat yang sangat pendek tapi memberi makna yang sangat jelas.

Sebelum dipaparkan apakah ayat tersebut, ingin saya kongsikan bersama anda tentang suatu kaedah yang digunakan pada masa kini untuk mengesan pembohongan. Kaedah tersebut menggunakan pengimejan ke atas otak melalui getaran magnetik atau lebih dikenali sebagai FMRI. Kaedah tersebut dapat mengesan tindak balas yang berlaku ketika otak sedang melakukan penipuan. Bukan itu sahaja, melalui kaedah ini alat mengesan pembohongan dapat diwujudkan. Terdapat banyak kawasan unik dalam otak yang terlibat dalam penipuan dan kebenaran yang boleh dikesan melalui kaedah FMRI.

Keadah FMRI digunakan untuk mengetahui aktiviti otak

Ujikaji Ke Atas Ubun-Ubun Otak Manusia

Fakta mengesahkan, di dalam otak seorang yang sedang melakukan pembohongan terdapat tujuh kawasan yang aktif tetapi dalam otak orang yang bercakap benar, terdapat hanya 4 kawasan yang aktif

Mengapa hal ini berlaku?. Bagi melakukan pembohongan, otak perlu berusaha lebih keras lagi bagi mengaktifkan kawasan-kawasan yang bertindak balas dalam otak untuk menjana idea-idea dusta berbanding dengan bercakap benar. Ketika proses pendustaan sedang berlaku, bahagian hadapan otak yang mana terletaknya kawasan ubun-ubun akan bertindak balas yang melalui bahagian medial inferior, pre-central area, hippocampus, temporal tengah dan juga kawasan limbic. Begitu juga ketika bercakap benar, terdapat juga aktiviti di bahagian otak hadapan iaitu temporal lobe dan cigulate gyrus.

Sekarang saya kongsikan keajaiban Al-quran bersama anda. Kajian demi kajian dilakukan dengan susah payah sedangkan dalam Al-Quran telah membuktikan penemuan yang baru dijumpai ini.

Ketahuilah, sesungguhnya jika dia tidak berhenti (berbuat demikian) Nescaya Kami tarik ubun-ubunnya (iaitu)ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka.
(Al-Alaq ayat 15-16)

Sebelum kami mengulas dengan lebih lanjut tentang ayat di atas, kami mohon saudara-saudari pembaca mengambil kitab tafsir Al-quran dan rujuk pada ayat yang kami paparkan di atas.

Jika saudara melihat ayat tersebut, perkataan (Nasiya) bermaksud ubun-ubun. Menurut kitab tafsir Ibn Kathir (ubun-ubun yang berdusta) yang dipaparkan dalam ayat tersebut bermaksud, ubun-ubun Abu Jahal menipu dalam percakapan dan perbuatan. Dalam konteks otak, bahagian yang dinamakan sebagai frontel lobe adalah ubun-ubun. Melalui ubun-ubunlah, suatu kebenaran atau pembohongan dapat dikenalpasti.

Subhanallah, apa lagi yang boleh kita katakan selain Al-Quran sememangnya diturunkan sebagai panduan kepada seluruh Umat manusia. Berimanlah dengannya dengan sebenar-benar Iman.

Wallahu'alam...