Showing posts with label Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Ibadah. Show all posts

Friday, 9 August 2013

Pintu Taubat Terbuka Sepanjang Hayat

Bismillahirrahmanirrahim...

   Taubat wajib daripada segala maksiat dan ia memiliki 4 syarat yang perlu dipenuhi seperti yang disebut Imam an-Nawawi dan para ulama.
1. Hendaklah ia meninggalkan maksiat
2. Menyesal kerana pernah melakukannya
3. Hendaklah dia berazam iaitu berniat untuk meninggalkannya dan tidak melakukannya 
    selama-lamanya
4. Membebaskan hak milik orang lain sekiranya maksiat itu berhubung dengan harta manusia atau lainnya      
    serta mengembalikannya kepada pemiliknya

  Jika dosa yang dilakukan dalam bentuk lisan, hendaklah dia meminta maaf kepada orang tersebut .Jika dia mengambil atau mencuri harta seseorang, hendaklah dia mengembalikannya, sekiranya dia mengetahui pemiliknya. Sekiranya dia tidak mengetahuinya, maka hendaklah dia sedekahkan kepada fakir miskin atas nama pemiliknya.
Wajib Bertaubat

  Wajib hukumnya bertaubat atas segala dosa. Jika seseorang bertaubat atas sebahagian dosa yang di taubat,  maka sah taubatnya atas dosa yang dia taubat dan tetap baginya dosa yang dia belum taubat. Dalil wajib taubat sangat banyak. Antaranya firman Allah SWT dalm surah an-Nur ayat 31 
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
  Pintu Taubat terbuka sepanjang umur, seperti yang diriwayatkan Muslim daripada Abu Musa al-Asy'ari ra, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud : 
   
  "Sesungguhnya Allah SWT membuka tangan-Nya (rahmat) pada malam hari agar orang yang berbuat buruk pada siang hari dapat bertaubat, dan ia membuka tangan-Nya pada siang hari agar orang yang berbuat buruk pada malam hari dapat bertaubat sehingga matahari terbit dari barat."    

   Ibnu Majah dan at-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Umar ra, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud : 
  
   "Sesungguhnya Allah SWT menerima taubat hamba-Nya selama dia belum mengalami sakaratul maut atau sebelum rohnya sampai di kerongkong."

Dua Keadaan Taubat Tak Diterima

    Taubat tidak diterima dalam dua keadaan iaitu pertama, ketika nazak dan kedua, ketika berubah arah terbit matahari. Sesiapa yang melihat betul-betul akibat perbuatan dosa, iakan tahu bahawa tidak ada dosa yang beroleh kebaikan.

    Orang yang terus-menerus berzina dan melakukan maksiat, maka dia kan hidup dalam keadaan melarat di dunia. Mereka tidak ubah seperti Manusia yang masuk dalam kegelapan. Hati manusia lain akan berpaling menjauhi dirinya.

    Jika mereka mempunyai harta yang banyak, maka harta itu pastinya bukan dari sumber yang halal. Jika mereka ditimpa kesukaran, mereka mula menyalahkan takdir seolah-olah takdir penyebab penderitaannya. Mereka sibuk dengan Duniawi dan mereka sama sekali tidak mengenal akhirat.

    Namun, sekiranya anda memerhatikan orang yang sabar menghadapi godaan nafsu dan meninggalkan perkara tidak halal, ada dalam kalangan mereka yang dikurniakan kesenangan di dunia, makanan lazat, tempat tinggal selesa, kehidupan aman dan kedudukan terhormat. Apabila kesusahan dan kesempitan datang menimpa , maka sabarlah ia dan ingat kepada Allah, kerana yang melapangkan dan menyempitkan hati hanya Allah , Al-Qabidh (Maha Menyempitkan) dan Al-Basith (Maha Melapangkan).

   Kesimpulannya, kita sebagai hamba Allah yang lemah dituntut agar menyegerakan taubat kerana kita tidak tahu bila ajal dan maut akan menjemput kita. Rasulullah SAW sentiasa bertaubat kepada Allah walaupun baginda seorang yang maksum (suci dari dosa).Marilah kita memperbanyakkan taubat agar hati kita sentiasa suci bersih dari sebarang kejahatan yang boleh menyebabkan hati menjadi lalai dari mengingati Allah.   

    Sabda Rasulullah SAW : Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hambaNya daripada 

gembiranya seorang yang kehilangan bekal bersama untanya disebuah padang yang tandus kemudian dia 

mendapatkannya kembali unta itu.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


  Kata-Kata Hikmah :
                                   " Jika Malas Nak Bertaubat , Perbanyakkanlah Beristighfar "
                                      -MSA-

Wallahua'lam...

Wednesday, 21 November 2012

Sebaik-Baik Zikir dan Sebaik-Baik Doa

عن جابر بن عبدالله رضي الله عنهما يقول : سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول : افضل الذكر لا اله الا الله وافضل الدعاء الحمدلله .                                 
(رواه الترميزي)

Daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma berkata : Rasulullah SAW Bersabda : Sebaik-baik Zikir ialah La Ilaha Illa Allah dan Sebaik-baik Doa ialah Alhamdulillah.   Riwayat Tarmizi
 
 

Friday, 29 June 2012

Asmaul Husna ( Al-Rahman ) Maha Pemurah


    DIALAH , Allah yang memberikan kasih sayang dan kebaikan bagi seluruh makhluk ciptaannya , dari zaman dahulu hingga sekarang , tanpa membezakan antara yang BAIK dengan yang BURUK , yang BERIMAN dan yang KAFIR , yang DICINTAI dan DIBENCI. Allah mencurahkan kurnia yang tidak terbatas kepada makhluk-makhlukNYA. Contohnya , Allah memberi Oksigen kepada kita agar dapat bernafas dan Allah tidak memberikan Oksigen kepada sesuatu kaum sahaja tapi kepada seluruh makhlukNYA.
Buktinya terdapat dalam Al-Quran :
Wa Rahmati Wasi'at Kullun Syai-in =  Dan RahmatKu Meliputi Segala Sesuatu

    Para ulama telah mentafsirkan Al-Rahman sebagai kehendak ILAHI terhadap seluruh kebaikan , Al-Iradah Al-Khayr dan mengatakan bahawa Al-Rahman , sepertinya halnya Allah , adalah nama diri Sang Pencipta dan tidak dapat disifatkan kepada yang lain.
Allah berfirman:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang indah serta mulia. Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.
Surah Al-Israa'(17) Ayat Ke-110

     Makna kasih sayang bermula dari kebaikan perasaan , rasa sedih dan memahami perasaan yang dirasakan seseorang apabila dia mengetahui ada orang lain sedang mengalami penderitaan.Tekanan rasa sedih itu mendorong kita menolong orang yang sedang menderita. Namun , perasaan hiba saja tidak memadai. Kasih sayang yang kuat akan wujud jika seseorang itu dapat mengurangkan rasa kesedihan dan penderitaan yang sedang dialami oleh seseorang.

    Allah berada di atas semua itu , bahkan Dia memilih kasih sayang dan bukan hukuman sebelum Dia menciptakan makhluk. Dia telah menciptakan seluruh makhluk atas dasar kasih sayang-Nya. Segala sesuatu sejak azali telah dikurniakan kasih sayang. Dia telah menciptakan seluruh makhluk termasuk makhluk tertinggi , MANUSIA , tanpa kekurangan dan murni. Dia telah menganugerahkan rahmat yang luas dan tidak terbatas kepada makhluk-Nya. Dengan kasih sayang-Nya , Dia menunjukkan bahaya kerugian dan kehancuran. Dia telah  memberikan kepada MANUSIA dan hanya MANUSIA kebebasan memilih antara KEBAIKAN dan KEBURUKAN.

    Carilah di dalam dirimu sendiri cari cahaya Al-Rahman dengan menggunakan kebebasanmu dalam memilih kebaikan bagi dirimu dan bagi orang lain. Rasakanlah penderitaan orang yang tersesat mahupun orang yang malang , bukan dengan cercaan , tetapi dengan perasaan hiba dan pertolongan, dan berharaplah kepada janji Allah bahawa kasih sayang-Nya jauh melebihi marah-Nya.

    Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Allah Yang Maha Tinggi memiliki 100 bahagian rahmat. Hanya 1 bahagian yang dicurahkan-Nya kepada alam semesta, dibahagikan-Nya kepada semua makhluk-Nya. Rasa kasih sayang yang ada pada makhluk-Nya diantara sesama berasal dari bahagian itu. Adapun 99 bahagian lainnya disimpan-Nya untuk Hari Akhirat ketika Dia akan memberikannya kepada orang beriman."

    Hadis lain yang mengatakan kehendak dan keinginan Allah untuk memberikan rahmat-Nya kepada makhluk adalah:

    "Jika ada orang tidak memerlukan dan meminta kepada Allah [akan rahmat-Nya] nescaya Allah murka kepadanya."
_________________________________________________________________________________

    'Abdul Al-Rahman adalah orang padanya Allah memberikan rahmat-Nya kepada alam semesta. Setiap anak Adam memperoleh kasih sayang dari Yang Maha Pengasih sesuai dengan potensi mereka. Tak ada yang dikecualikan dari firman Yang Maha Pengasih itu, seperti yang disabdakan Nabi SAW dalam sebuah hadis, "Allah telah menciptakan manusia dalam bentuk kasih sayang-Nya."

    Amalkanlah membaca Ya Rahman sebanyak 100 kali pada setiap kali selesai solat fardhu, Insya-Allah, sifat lalai dan lupa itu akan dihilangkan oleh Allah.

Dipetik, ditambah dan diedit dari buku Siri Tasawur Islam yang bertajuk
"Asmaul Husna Makna dan Khasiat "
Penulisnya Syeikh Tosun Bayrak Al-Jerrahi

Wallahu'alam...

 
    

Thursday, 15 March 2012

Kisah Nabi Musa, Abid, dan Si Pencuri


Sekadar renungan

Di Zaman Nabi Musa AS ada seorang hamba Allah yang kerjanya hanya mencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri.

Pada suatu hari, dia terlihat Nabi Musa AS sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi Musa. Katanya, "Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku".

Tetapi setelah difikirkannya semula, dia tidak jadi melaksanakan niatnya itu. Dia berkata, "Aku ni pencuri. Manalah layak pencuri seperti aku ini berjalan bersama dengan seorang nabi". Sejurus kemudian, dia terlihat pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa AS dari belakang. Lelaki itu adalah si Abid yang telah beribadat secara istiqamah selama 40 tahun dan dikenali oleh semua orang. Si pencuri berkata di dalam hatinya, "Baik aku berjalan bersama si Abid ini, mudah-mudahan ada baiknya juga untuk aku".

Lantas si pencuri menghampiri si Abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya. Apabila ternampak sahaja si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya, "Celaka aku kalau si pencuri berjalan bersamaku, takut nanti rosak segala amalan dan kebaikanku selama ini".

Si abid terus berjalan laju supaya si pencuri tadi tidak dapat mengikutnya. Namun si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana mahu tetap bersamanya. Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa AS. Nabi Musa AS terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, "Aku baru sahaja dapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan kamu telah dimansuhkan oleh Allah." Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi.

Berbahagialah si pencuri kerana segala dosa mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah Taala. Tetapi malang dan berita duka bagi si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40 tahun ditolak dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Rupa-rupanya si pencuri itu walau pun kerjanya mencuri, tetapi dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia mencuri kerana ditimpa kemiskinan dan memikul tanggungan yang banyak. Namun masyarakat ketika itu sungguh angkuh dan sombong. Manakala si kaya pula enggan membantu orang fakir dan miskin.

Oleh itu dia mencuri kerana terpaksa. Setiap kali dia mencuri, dia amat rasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itulah juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun itu jugalah hatinya merintih sedih, meminta belas kasihan, memohon keampunan Allah dan mengharapkan kasih sayangNya.

Sebaliknya si abid pula, dia teramat yakin bahawa ibadahnya mampu menyelamatkannya. Dia malahan yakin ibadahnya akan dapat membeli syurga. Setiap kali dia beribadah, dia merasa dirinya bertambah baik, dan setiap kali dia beribadah dia merasakan dirinya bertambah mulia.

Selama 40 tahun si abid ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia hinggakan dia merasakan dirinya tidak layak bergaul dengan orang yang tidak sepertinya, yang dirasakan hina dan banyak dosa. Dia merasakan dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.

Maha Suci Allah SWT yang mengetahui segala isi hati manusia, yang tidak melihat amalan zahir semata-mata tetapi apa yang terkandung di dalam hati manusia. Sesungguhnya Allah menilai hambaNya berdasarkan amalan yang benar-benar ikhlas, bukan amalan yang dilakukan sekadar untuk menunjuk-nunjuk dan untuk mendapat perhatian dan pujian manusia. Kepunyaan Allah lah tiap segala sesuatu. Syurga dan Neraka itu, Allah jua yang Maha Menentukan.

Wallahu'alam... 

Thursday, 26 January 2012

Ada Apa Dalam Kaabah ?


Gambar di dalam kaabah

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, di dalam Kaabah ada terdapat enam tiang yang dibina oleh Kaum Quraisy, tiang itu diguna untuk menyokong bumbungnya. Dua tiang sebelah kiri, satu tiang di sebelah kanan dan tiga tiang di sebelah belakang. Tiang-tiang itu adalah tiang kayu. 

Selepas pembinaan yang dilakukan Sultan Murad, cuma terdapat tiga batang tiang kayu. Tiang-tiang itu terletak di bahagian tengah Kaabah, setiap satu batang bergaris pusat lebih kurang 1.5 meter. Berwarna merah kekuningan. Satu daripada tiang itu berbentuk bulat dan dua lagi berbentuk empat persegi.

Sekitar tahun 1304 Hijrah (tahun 1884) tiang-tiang dalam Kaabah itu menjadi reput, dalam tahun 1314 Hijrah (tahun 1894) ia telah diperkuatkan dengan dibuat lengkungan kayu seperti bola di bahagian bawah setiap tiang itu yang terletak lebih kurang 1.5 meter dari lantai Kaabah.

Antara tiga tiang dalam Kaabah itu jarak di antara satu sama lain ialah 2.35 meter.

Terdapat sebuah tangga kayu yang dibina di dalam Kaabah untuk menuju ke bumbung Kaabah. Di tangga itu telah dipasang dengan tirai kain sutera hitam yang dihiasi emas dan perak.

Lantai dalam Kaabah dipasang marmah putih dan marmar merah. Dinding Kaabah juga dipasang marmar berwarna dan dihiasi dengan tulisan khat.

Dalam Kaabah juga terdapat tirai sutera merah putih yang tertulis Kalimah Syahadah. Terdapat banyak lagi perkataan yang ditulis, tirai itu digunakan untuk menutup bahagian dalam bumbung Kaabah dan empat penjuru bahagian dalam dinding Kaabah.

Oleh kerana tirai itu dibuat semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz Khan iaitu dalam tahun 1209 H (tahun 1789) maka dalam usia yang terlalu lama itu, warnanya menjadi seperti hijau dan kelabu.

Ada pelbagai jenis lampu berwarna-warni yang diletakkan di antara tiga tiang Kaabah. Lampu-lampu itu adalah hadiah-hadiah yang diberikan orang untuk Kaabah semenjak berkurun-kurun lagi.

Terdapat sepasang kayu papan yang diletakkan pada dinding Kaabah, kayu itu berasal dari bahtera Nabi Nuh. Terdapat sekeping marmar merah empat segi di sebelah sudut utara dalam Kaabah. Antara barangan lain yang terdapat dalam Kaabah ialah barang tinggalan sejarah yang diletakkan di penjuru Iraqi, antara barangan itu termasuklah sepasang subang dipercayai kepunyaan Siti Maryam dan satu tanduk kibas.

Dr Muzammil Siddiqi
 Menurut kata Dr Muzammil Siddiqi yang berpeluang masuk ke dalam Kaabah pada tahun 1998;

Di dalam Kaabah ada: 3 tiang, antara tiga tiang dalam Kaabah itu jarak di antara satu sama lain ialah 2.35 meter. Terdapat sebuah meja di tepi untuk letak benda seperti minyak wangi; ada 2 lampu seperti pelita tergantung dari siling; ruangnya boleh memuatkan lebih kurang 50 orang, tiada lampu elektrik iaitu tidak ada sistem pencahayaan elektrik, dinding dan lantainya daripada marmar kecuali ada sebuah bahagian yang dinamai “Rukhamat Humra”, tiada tingkap, satu pintu, dinding sebelah atas diliputi kain yang ada kalimah di atasnya. Bahagian atas dinding ditutup dengan kain warna hijau dihiasi dengan tulisan ayat al-Quran dengan tinta emas.

Ilustrasi Bahagian Dalam Kaabah

Perigi Harta Dalam Kaabah

Mengikut kajian dari Muhammad al-Azraqi, ada terdapat sebuah perigi tersangat dalam di dalam Kaabah yang digali oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Perigi itu terletak di sebelah kanan Kaabah. Di dalam perigi itu telah dimasukkan emas, perak dan permata yang dihadiahkan orang kepada Kaabah dalam jumlah yang agak banyak. Perigi tersebut kini berada di bawah lantai marmar bahagian dalam Kaabah.

(Dipetik dari buku Membongkar Rahsia Kaabah, karya Azizan Ahmad. Pernah bekerja sebagai “Book Adviser” di TIMES and LIFE, sebuah penerbitan antarabangsa Amerika yang terkemuka dan di Strait’s Times Press)

Wallahu'alam...

Friday, 6 January 2012

Cara Makan Sunnah Nabi SAW , Dari Segi Saintifik


Tertarik dengan kenyataan Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa "Perut Adalah Punca Penyakit". Bagi orang Islam, Nabi SAW adalah contoh terbaik, setiap perbuatan Nabi SAW mempunyai sebab tersendiri, dilakukan atas jagaan ilmu Maha Mengetahui.


Rasullulah tak pernah sakit perut sepanjang hayatnya kerana pandai menjaga makanannya sehari-hari.

1. Jangan Makan/Minum

Susu bersama salah satu (atau semua) berikut; Daging, Ikan, Ayam, Cuka, Buah
Ikan bersama salah satu (atau semua) berikut; Daging, Telur, Daun salad

2. Cara Makan

Makan hanya cukup sekadar untuk menghilangkan lapar. Jika mahu makan lebih: sediakan 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk cecair/air, 1/3 untuk udara/bernafas.

Tidak makan buah selepas hidangan berat (eg: nasi, gandum, roti). Hanya makan buah sebelum menjamah makanan lain. Buah segar merupakan makanan pra-cerna,boleh masuk terus dari perut ke usus. Jika dimakan bersama makanan lain (eg: buah bertemu makanan lain dalam perut), buah akan terperangkap, bercampur dalam perut, biasanya mengakibatkan fermentasi (proses menghasilkan tenaga tanpa oksigen) buah dan segala makanan dalam perut berlaku secara sendiri.

Tidur sejam setelah makan tengahari (sebelum waktu zohor)

Dilarang meninggalkan makan malam. Jika abaikan? Kekurangan nutrisi menambah risiko penuaan (dimakan usia/aging) dan peningkatan berganda kolesterol dalam badan.

Kitab-kitab perubatan Islam melarang makan bersama/mencampur makanan darat (ion positif) bersama makanan laut (ion negatif). Menurut kajian, ion+ dan ion- menghasilkan tindakan biokimia yang boleh memudaratkan usus manusia.

Makan menggunakan tangan kanan dan dijilat jari. Jari menghasilkan enzim 10 kali ganda lebih banyak berbanding air liur dalam membantu dalam proses pencernaan makanan.

Tunggu makanan dimasak sejuk sedikit sebelum dimakan. Tiada keberkatan dalam makanan yang dimakan panas-panas.

Mengambil sedikit/secubit garam sebelum makan. Garam (NaCl) terdiri dari Natrium (sodium) klorida (chloride). Klorida yang terdapat dalam garam merupakan klorida yang sama dirembeskan dalam perut (klorida dalam asid hidroklorik, yang penting untuk pencernaan makanan). Jadi, pengambilan garam sebelum makan membolehkan badan menghasilkan hidroklorik asid mencukupi bagi mencernakan makanan. Kebanyakan kesan negatif garam seperti diwarwarkan dunia kini adalah berpunca dari lebihan natrium, bukan klorida.

3. Cara Minum

Tidak minum air segelas dalam satu nafas sahaja. Sebaliknya minum seteguk-seteguk selang seli bernafas sambil duduk.

Tidak minum ketika sedang menjamah makanan. Sila minum sebelum/selepas makan.

Jika lalat jatuh dalam air minuman. Selamkan 100% lalat tersebut ke dalam air. Kemudian buang lalat tersebut. Terdapat sel longitudinal (sel yis) hidup menumpang (parasit) dalam badan lalat dengan sebahagian mencelah di setiap tubula (rongga) respirasi (pernafasan) lalat. Jika lalat diselam, perubahan tekanan osmosis air akan menyebabkan sel ini pecah/meletup membebaskan antidot bagi melawan patogen dalam badan lalat.

3. Lain-lain Sunnah Amalan Pemakanan Sihat

Bersugi sebelum dan selepas makan. Malah Nabi SAW juga bersugi sebelum setiap kali menunaikan solat fardhu.

Makan makanan "whole foods" (makanan yang mengekalkan sebatian asal, bukan makanan proses). Makan makanan yang ada dalam musimnya. Tidak mencampur sejenis makanan bersama sejenis makanan lain sesuka hati. Kini hanya 25% penduduk dunia yang masih makan "whole foods".

Tidak mencari kesalahan dalam hidangan. Jika suka, Nabi SAW akan makan. Jika tidak suka, Nabi SAW akan menolak dengan baik.

Wallahu'alam...