Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Sunday, 15 January 2012

Minum Berdiri : Hukum Dan Kesannya


Hadith

Islam telah menetapkan adab bagi umatnya dalam melakukan sesuatu kegiatan bagi mendapat kesejahteraan. Begitu juga Islam telah menetapkan adab-adab ketika minum.

Terdapat hadis yang menunjukkan tegahan minum berdiri ialah hadis yang diriwayat oleh Muslim iaitu: Terjemahan: dari anas RA, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW melarang minum berdiri. Hadis ini merupakan hadis yang diriwayatkan oleh muslim didalam kitab minuman, bab tegahan minum berdiri, hadis yang ke 3771

Kajian Dari Sudut Sains

Di antara sebab larangan minum berdiri ialah, menurut pakar perubatan Dr Abdul Razzak Al-Kailani “Sesungguhnya makan dan minum dalam keadaan duduk lebih baik dari segi kesihatan, lebih selamat, lebih puas. Dimana makanan dan minuman akan melalui dinding perut dengan perlahan-lahan.

Minum berdiri menyebabkan cecair akan jatuh ke dasar perut dengan laju dan akan melanggar lapisan perut. Kalau perkara ini sering berlaku dan dalam jangka masa panjang akan menyebabkan perut menjadi longgar dan jatuh sehingga menyebabkan minuman susah untuk dihadam. Begitu juga dengan makanan.

Menurut pandangan Dr Ibrahim Ar-Rawi, apabila seseorang itu berdiri ototnya menjadi tegang dan pada masa yang sama sistem imbangan pada sistem saraf pusat (central nervous system) dalam keadaan terlampau aktif mengawal semua otot, untuk melakukan proses pengimbangan dan berdiri tegak.

Central nervous system (2) adalah gabungan otak (1) dan saraf tunjang (3)

Ia adalah proses gabungan diantara sistem saraf dan sistem otot dalam satu masa yang menyebabkan manusia tidak mampu mengawal kedua-duanya untuk rehat. Keadaan otot yang rehat adalah syarat yang terpenting ketika makan dan minum dan keadaan ini hanya wujud ketika seseorang itu duduk.

Apabila duduk maka sistem saraf dan sistem otot dalam keadaan tenang akan menjadi aktif serta sistem penghadaman akan bertambah kemampuan (ability) untuk menerima makanan dan minuman. Ini akan menyerap (assimilation) makanan dengan cara yang betul.

Namun demikian diharuskan minum berdiri ditempat yang tidak sesuai untuk duduk seperti tempat yang terlampau sesak. Ini adalah kerana Nabi SAW pernah minum berdiri, ini berdasarkan kepada hadis Ibn Abbas yang menyatakan Rasulullah SAW minum air zam-zam berdiri.

Persoalannya di sini, mengapa rasulullah minum air zam-zam dalam keadaan berdiri.

Air zam-zam mengandungi khasiat yang tinggi

Menurut kajian pakar, air zam-zam mengandungi fluorida yang memiliki daya efektif membunuh kuman serta ia mengandungi kalsium dan garam magnesium yang tinggi berbanding air biasa, dari segi saintifik air zam-zam bersifat alkali, jadi air zam-zam boleh meneutralkan asid hidroklorik yang terhasil di dalam perut dan mengurangkan pedih ulu hati.

Jadi inilah sebab rasulullah minum air zam-zam berdiri supaya air tersebut dapat meneutralkan asid yang terhasil dalam perut dengan cepat.

Selain itu, air zam-zam juga mengandungi iodin, sulfat dan nitrat. Kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potassium menyebabkan air zam-zam bersifat nutritif berbanding sumber lain, inilah yang membuatkan air zam-zam dapat menyegarkan para jemaah haji yang meminumnya dan memberi ketahanan antibodi kepada orang yang meminumnya.

Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. 
( Surah an-Anfal : Ayat 2 )

Wallahua'lam

Friday, 6 January 2012

Cara Makan Sunnah Nabi SAW , Dari Segi Saintifik


Tertarik dengan kenyataan Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa "Perut Adalah Punca Penyakit". Bagi orang Islam, Nabi SAW adalah contoh terbaik, setiap perbuatan Nabi SAW mempunyai sebab tersendiri, dilakukan atas jagaan ilmu Maha Mengetahui.


Rasullulah tak pernah sakit perut sepanjang hayatnya kerana pandai menjaga makanannya sehari-hari.

1. Jangan Makan/Minum

Susu bersama salah satu (atau semua) berikut; Daging, Ikan, Ayam, Cuka, Buah
Ikan bersama salah satu (atau semua) berikut; Daging, Telur, Daun salad

2. Cara Makan

Makan hanya cukup sekadar untuk menghilangkan lapar. Jika mahu makan lebih: sediakan 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk cecair/air, 1/3 untuk udara/bernafas.

Tidak makan buah selepas hidangan berat (eg: nasi, gandum, roti). Hanya makan buah sebelum menjamah makanan lain. Buah segar merupakan makanan pra-cerna,boleh masuk terus dari perut ke usus. Jika dimakan bersama makanan lain (eg: buah bertemu makanan lain dalam perut), buah akan terperangkap, bercampur dalam perut, biasanya mengakibatkan fermentasi (proses menghasilkan tenaga tanpa oksigen) buah dan segala makanan dalam perut berlaku secara sendiri.

Tidur sejam setelah makan tengahari (sebelum waktu zohor)

Dilarang meninggalkan makan malam. Jika abaikan? Kekurangan nutrisi menambah risiko penuaan (dimakan usia/aging) dan peningkatan berganda kolesterol dalam badan.

Kitab-kitab perubatan Islam melarang makan bersama/mencampur makanan darat (ion positif) bersama makanan laut (ion negatif). Menurut kajian, ion+ dan ion- menghasilkan tindakan biokimia yang boleh memudaratkan usus manusia.

Makan menggunakan tangan kanan dan dijilat jari. Jari menghasilkan enzim 10 kali ganda lebih banyak berbanding air liur dalam membantu dalam proses pencernaan makanan.

Tunggu makanan dimasak sejuk sedikit sebelum dimakan. Tiada keberkatan dalam makanan yang dimakan panas-panas.

Mengambil sedikit/secubit garam sebelum makan. Garam (NaCl) terdiri dari Natrium (sodium) klorida (chloride). Klorida yang terdapat dalam garam merupakan klorida yang sama dirembeskan dalam perut (klorida dalam asid hidroklorik, yang penting untuk pencernaan makanan). Jadi, pengambilan garam sebelum makan membolehkan badan menghasilkan hidroklorik asid mencukupi bagi mencernakan makanan. Kebanyakan kesan negatif garam seperti diwarwarkan dunia kini adalah berpunca dari lebihan natrium, bukan klorida.

3. Cara Minum

Tidak minum air segelas dalam satu nafas sahaja. Sebaliknya minum seteguk-seteguk selang seli bernafas sambil duduk.

Tidak minum ketika sedang menjamah makanan. Sila minum sebelum/selepas makan.

Jika lalat jatuh dalam air minuman. Selamkan 100% lalat tersebut ke dalam air. Kemudian buang lalat tersebut. Terdapat sel longitudinal (sel yis) hidup menumpang (parasit) dalam badan lalat dengan sebahagian mencelah di setiap tubula (rongga) respirasi (pernafasan) lalat. Jika lalat diselam, perubahan tekanan osmosis air akan menyebabkan sel ini pecah/meletup membebaskan antidot bagi melawan patogen dalam badan lalat.

3. Lain-lain Sunnah Amalan Pemakanan Sihat

Bersugi sebelum dan selepas makan. Malah Nabi SAW juga bersugi sebelum setiap kali menunaikan solat fardhu.

Makan makanan "whole foods" (makanan yang mengekalkan sebatian asal, bukan makanan proses). Makan makanan yang ada dalam musimnya. Tidak mencampur sejenis makanan bersama sejenis makanan lain sesuka hati. Kini hanya 25% penduduk dunia yang masih makan "whole foods".

Tidak mencari kesalahan dalam hidangan. Jika suka, Nabi SAW akan makan. Jika tidak suka, Nabi SAW akan menolak dengan baik.

Wallahu'alam...

Friday, 23 December 2011

Kelebihan Berzikir Dari Sudut Sains


Otak sebenarnya ialah satu himpunan aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi secara sempurna.

Ketika otak berfungsi, berlaku perubahan kimia di dalamnya yang melibatkan pergerakan ion-ion atau atom-atom yang membawa cas. Setiap hari empat belas juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan enam belas juta saraf tubuh yang lain.

Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas. Ukuran isyarat otak yang terhasil daripada aktiviti elektrik yang dapat dikenal pasti melalui kaedahelectroencephalography (EEG).

Kaedah EEG yang digunakan untuk mengenalpasti aliran bio-elektrik

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimah-kalimah Allah S.W.T seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut.

Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat daripada perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedangkan sebelum berzikir otak tidak sebegini. Otak yang segar dan cerdas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Majalah Scientific American, Disember 1993

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Kajian dilakukan di University of Washington dengan menggunakan ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Ujian imbasan PET

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang kali, aktiviti saraf otak merebak ke kawasan-kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama.

Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Jika ia mengaitkan tentang kecerdasan otak, maka betullah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Orang yang berzikir kepada Allah S.W.T ditengah-tengah orang yang lalai ibarat sebuah pepohonan yang hijau ditengah-tengah pepohonan yang kering.”

Oleh itu saudara-saudaraku seIslam, ketika saintis barat baru menemui mukjizat ini, kita sudahpun lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang rendah kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Wednesday, 21 December 2011

Hikmah Solat Dari Sudut Kesihatan


HASIL kajian saya melalui beberapa sumber Internet , saya mendapati bahawa setiap pergerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.
Rasullullah s.a.w memerintahkan kaum muslimin agar mengikut cara bersolat baginda seperti dalam hadis Rasulullah: 
             " Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku solat " - (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hikmah Solat Dalam Kedudukan Berikut

Berdiri Tegak
* Memastikan badan berada dalam garisan lurus, beban badan di letakkan di kedua-dua kaki.
* Otot atas belakang badan berada dalam keadaan rehat.
* Otot-otot kedua tangan berada dalam keadaan rehat sepenuhnya. 

Rukuk
* Merehatkan sepenuhnya otot bahagian bawah belakang badan.
* Meregangkan otot paha dan betis.
* Melembutkan otot-otot perut dan buah pinggang.
* Melembutkan ruas tulang belakang untuk mengurangkan kesakitan waktu bersalin. 


Sujud
* Melancarkan aliran darah dan aliran limpa.
* Menguatkan otot-otot dada.
* Melancarkan aliran darah ke otak.
* Memulihkan kedudukan rahim. 
* Organ terpenting iaitu otak kita juga akan menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
* Memberi dorongan supaya mudah tidur.
* Menggerakkan otot bahu , dada , leher , perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.    
   Pergerakan otot ini akan menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik , secara semula jadi dan ia juga akan    memastikan kelancaran aliran darah.              
   
Duduk antara dua sujud
* Melancarkan aliran darah ke kawasan bawah badan.
* Mengurut otot bahagian bawah badan.
* Merawat otot-otot yang tercedera selepas bersalin.
* Merawat buasir. 

Duduk tahiyat
* Posisi kaki seumpama rawatan˜akupunktur" mengurut telapak kaki yang   mewakili organ-organ dalam badan. 
* Merawat buasir.
* Merawat penyakit berkaitan alat kelamin lelaki. 

Memusing kepala untuk memberi salam
* Menguatkan otot leher.
* Menghilangkan sengal dan lenguh bahagian leher. 

Solat Tarawih dan Puasa Terhadap Kompisisi Badan
* Menguatkan otot dan meningkatkan kadar pembakaran lemak.
* Lemak kurang dalam salur darah – kekenyalan salur darah meningkat dan rintangan berkurang.
* Puasa tidak akan mengakibatkan nyahhidrasi pada sel tubuh badan.
* Sebaliknya, kandungan air di dalam sel badan semakin meningkat.
* Pergerakan Solat Tarawih lebih selama 140 minit dalam satu sesi adalah konsisten dengan tahap  senaman sederhana untuk melebihi 150 minit seminggu dan puasa pula merupakan diet yang baik.
* Aktiviti ini dapat meningkatkan kadar pembakaran lemak sekaligus merendahkan lemak dan nilai glukosa. 

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya
AKTIVITI OTOT – Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas
Beliau mengatakan bahawa otot manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot akan menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, rukuk dan sujud menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh. Malah, solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh".


ISYARAT OTAK – Ng Siew Chok
Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya.
Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah Tamakninah,” katanya.
Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.
Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.
Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.


KOMPOSISI TUBUH – Dr Fatimah Ibrahim
Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu TISU AKTIF , TISU TULANG , KOMPONEN AIR , dan LEMAK.
Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.
Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahiyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.
Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.
“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.
Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.
Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.
Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.
Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.
“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang ".


Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.
“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.
Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Rasulullah (SAW) mengajar kita supaya merapatkan saf.

Rasulullah (SAW) pernah Bersabda : “Tegakkanlah saf-saf, luruskanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud) 


“Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” 
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Bahkan, Imam sebelum memulakan solat akan memberi arahan "LURUS dan RAPATKAN SAF"

Cara merapatkan saf yang betul:
“Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan mendekatkan mata kakinya dengan mata kaki saudaranya.” 
(Hadis Riwayat Bukhari)




Kesimpulan:
Solat umpama senaman ringan dan berpuasa umpama diet yang baik. Kegiatan ini boleh meningkatkan kadar pembakaran basal dan menurunkan kolestrol badan. Justeru ia dapat mengelakkan penyakit jantung, stress, kolestrol dan kegemukan. Pergerakan yang dilakukan semasa solat telah dibuktikan dapat memulihkan fungsi otot-otot dan merawati sakit pinggang. Posisi dan pergerakan solat boleh digunakan sebagai salah satu rawatan pemulihan alternatif untuk menyembuhkan atau mengurangkan sakit pinggang, bukan sahaja kepada penghidap sakit pinggang kronik, tetapi juga disyorkan kepada wanita mengandung tanpa mengira bangsa dan agama. 


Wallahua'lam.