Friday, 9 August 2013

Pintu Taubat Terbuka Sepanjang Hayat

Bismillahirrahmanirrahim...

   Taubat wajib daripada segala maksiat dan ia memiliki 4 syarat yang perlu dipenuhi seperti yang disebut Imam an-Nawawi dan para ulama.
1. Hendaklah ia meninggalkan maksiat
2. Menyesal kerana pernah melakukannya
3. Hendaklah dia berazam iaitu berniat untuk meninggalkannya dan tidak melakukannya 
    selama-lamanya
4. Membebaskan hak milik orang lain sekiranya maksiat itu berhubung dengan harta manusia atau lainnya      
    serta mengembalikannya kepada pemiliknya

  Jika dosa yang dilakukan dalam bentuk lisan, hendaklah dia meminta maaf kepada orang tersebut .Jika dia mengambil atau mencuri harta seseorang, hendaklah dia mengembalikannya, sekiranya dia mengetahui pemiliknya. Sekiranya dia tidak mengetahuinya, maka hendaklah dia sedekahkan kepada fakir miskin atas nama pemiliknya.
Wajib Bertaubat

  Wajib hukumnya bertaubat atas segala dosa. Jika seseorang bertaubat atas sebahagian dosa yang di taubat,  maka sah taubatnya atas dosa yang dia taubat dan tetap baginya dosa yang dia belum taubat. Dalil wajib taubat sangat banyak. Antaranya firman Allah SWT dalm surah an-Nur ayat 31 
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
  Pintu Taubat terbuka sepanjang umur, seperti yang diriwayatkan Muslim daripada Abu Musa al-Asy'ari ra, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud : 
   
  "Sesungguhnya Allah SWT membuka tangan-Nya (rahmat) pada malam hari agar orang yang berbuat buruk pada siang hari dapat bertaubat, dan ia membuka tangan-Nya pada siang hari agar orang yang berbuat buruk pada malam hari dapat bertaubat sehingga matahari terbit dari barat."    

   Ibnu Majah dan at-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Umar ra, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud : 
  
   "Sesungguhnya Allah SWT menerima taubat hamba-Nya selama dia belum mengalami sakaratul maut atau sebelum rohnya sampai di kerongkong."

Dua Keadaan Taubat Tak Diterima

    Taubat tidak diterima dalam dua keadaan iaitu pertama, ketika nazak dan kedua, ketika berubah arah terbit matahari. Sesiapa yang melihat betul-betul akibat perbuatan dosa, iakan tahu bahawa tidak ada dosa yang beroleh kebaikan.

    Orang yang terus-menerus berzina dan melakukan maksiat, maka dia kan hidup dalam keadaan melarat di dunia. Mereka tidak ubah seperti Manusia yang masuk dalam kegelapan. Hati manusia lain akan berpaling menjauhi dirinya.

    Jika mereka mempunyai harta yang banyak, maka harta itu pastinya bukan dari sumber yang halal. Jika mereka ditimpa kesukaran, mereka mula menyalahkan takdir seolah-olah takdir penyebab penderitaannya. Mereka sibuk dengan Duniawi dan mereka sama sekali tidak mengenal akhirat.

    Namun, sekiranya anda memerhatikan orang yang sabar menghadapi godaan nafsu dan meninggalkan perkara tidak halal, ada dalam kalangan mereka yang dikurniakan kesenangan di dunia, makanan lazat, tempat tinggal selesa, kehidupan aman dan kedudukan terhormat. Apabila kesusahan dan kesempitan datang menimpa , maka sabarlah ia dan ingat kepada Allah, kerana yang melapangkan dan menyempitkan hati hanya Allah , Al-Qabidh (Maha Menyempitkan) dan Al-Basith (Maha Melapangkan).

   Kesimpulannya, kita sebagai hamba Allah yang lemah dituntut agar menyegerakan taubat kerana kita tidak tahu bila ajal dan maut akan menjemput kita. Rasulullah SAW sentiasa bertaubat kepada Allah walaupun baginda seorang yang maksum (suci dari dosa).Marilah kita memperbanyakkan taubat agar hati kita sentiasa suci bersih dari sebarang kejahatan yang boleh menyebabkan hati menjadi lalai dari mengingati Allah.   

    Sabda Rasulullah SAW : Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hambaNya daripada 

gembiranya seorang yang kehilangan bekal bersama untanya disebuah padang yang tandus kemudian dia 

mendapatkannya kembali unta itu.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


  Kata-Kata Hikmah :
                                   " Jika Malas Nak Bertaubat , Perbanyakkanlah Beristighfar "
                                      -MSA-

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment